Tuesday, August 5, 2008

Kita tidak akan tahu apa yang kita mampu dan tidak mampu lakukan selagi kita tidak mencuba sesuatu itu. Aku pernah menyertai pertandingan bahas sebelum ini, menjadi juruacara perhimpunan sekolah dan beberapa acara pentas semasa di sekolah menengah dahulu. Jadi aku fikir bukan masalah untukku bercakap di hadapan orang ramai. Namun, susah juga untuk kali pertama semasa membuat pembentangan di kuliah semasa di universiti. Tetapi kita juga belajar daripada pengalaman. Semakin lama kemahiran komunikasiku semakin baik sehinggalah di tahun akhir aku terpaksa menghadapi microteaching dan pembentangan projek akhir tahun.
Pengalaman microteaching aku bukanlah sesuatu yang manis untuk dikenang dan tidak pula terlalu pahit untuk ditelan namun cukup untuk memberikan pengalaman dan membentuk diri ini. Masalah aku cuma aku terlalu kelam kabut dan terlalu mahukan yang terbaik. Ya, satu keburukan diriku yang aku ketahui melalui pengalaman itu ialah aku jenis orang yang mahu dipuji dan itulah yang menggagalkan aku. Aku juga perlu belajar untuk lebih bertenang.
Cabaran seterusnya ialah Latihan Mengajar Praktikum dan Kaunseling (LMPK). Aku memohon untuk menjalani LMPK di Melaka kerana itulah satu- satunya negeri dalam pilihan universiti aku yang mana terdapatnya ahli keluargaku. Pada asalnya aku memohon untuk praktikal bersama seorang kawanku tetapi sesungguhnya Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita. Ditakdirkan aku mendapat sebuah sekolah di Merlimau, Melaka bersama empat orang lagi rakan pelajar yang aku tidak kenal. Terus- terang aku nyatakan, aku amat risau untuk pergi latihan mengajar.
Banyak perkara yang perlu difikirkan untuk pergi latihan mengajar. Antaranya rumah sewa, pengangkutan ke sekolah dan perbelanjaan. Tambahan pula, aku diuji untuk pergi ke wilayah yang tidak pernah aku pergi bersama dengan orang yang aku tidak pernah kenal. Walaubagaimanapun, perkara utama yang harus difikir ialah kita akan pergi betul- betul mengajar pelajar di sekolah. Kita tidak boleh buat salah kerana mereka itu pelajar dan bukannya bahan ujikaji. Mereka tidak boleh menjadi mangsa kerana kebodohan kita dan itulah cabaran pertama dalam menjadi seorang pendidik. Mahu tidak mahu aku terpaksa tempuh cabaran ini kerana sememangnya hidup ini jalan sehala. No turning back.
Semakin kita meniti hari, semakin kita mengerti bahawa hidup ini terdiri daripada lapisan- lapisan yang terpisah tetapi masih satu, seperti bawang merah! Tempoh 3 bulan untuk LPMK di tempat yang jauh daripada kampung halamanku membuatkan aku terasa bagaikan menyertai rancangan reality Akademi Fantasia! Hakikatnya ia memang satu realiti! Jadi, dalam seribu satu macam perasaan yang menghantui diri ini aku bisikkan kepada diriku bahawa “this is gonna be fun!” Sebenarnya ini satu poin yang penting dalam hidupku. Sejak kecil aku mempunyai satu motivasi dalaman yang kuat yang mana sikap inilah yang membawa aku hingga ke tahap ini hari ini. Walau bagaimanapun aku tak dapat nafikan kelemahan sikapku yang sering bergantung kepada orang lain.
Menyingkap sejarah hidupku, aku mempunyai seorang abang yang tua setahun daripadaku dan ini membuatkan aku sering bergantung hidup padanya sejak dari sekolah rendah. Apabila memasuki sekolah menengah walaupun aku bersekolah di asrama, aku masih lagi dengan sikap kebergantunganku ini. Hubungan yang rapat dengan famili membuatkan aku kurang bijak dalam membuat keputusan sendiri. Orang lain lebih mengenali siapa aku daripada aku mengenali diriku sendiri. Begitulah keadaannya sampailah masuk ke peringkat universiti. Sikap kebergantungan aku ini membuatkan aku mudah terikut kawan dan keadaan. Jadi, bagaimana halnya semasa LMPK? Semasa tiada siapa tempat aku dapat bergantung?
Dengan satu usaha tekad aku pun cuba menghubungi bakal kawan- kawan baruku ini untuk berbincang. Sebagai permulaan aku pun dengan gagah berani membelah keheningan malam untuk ke kolej kediaman mereka, seorang diri. Di sana aku ketemui Izan, Linda, Dayah dan Jae. Aku tahu aku akan kelihatan sangat kaku dan skema semasa pertama kali berjumpa dengan orang baru, namun kuharungi jua demi LMPK yang bakal menentukan gred peperiksaan tahun akhirku. Daripada gaya mereka mungkin mereka nampak agak berbeza denganku yang agak gila- gila dan kuat bergurau. Daripada Izan kami telah berjaya mendapatkan rumah sewa yang berdekatan dengan sekolah. Jadi, perjumpaan seterusnya ialah di rumah sewa itu nanti!
Hari yang dinanti atau digusari itu tiba juga. 3 bulan aku akan berada di Melaka bererti aku akan berjauhan dengan keluargaku selama tempoh itu. Saat itu kurasakan bagai menyertai rancangan reality Akademi Fantasia kerana harus berjauhan dengan keluarga dan orang tersayang selama 3 bulan! Hari pertama di rumah sewa itu ialah hari penuh dengan senyuman, bukan juga kerana aku terlalu gembira tetapi untuk menunjukkan kepada semua betapa aku boleh didekati, ramah dan tidak sombong. Aku cukup benci dituduh sombong dan yang penting aku tahu aku lebih cantik jika tersenyum!
Tempat kami menyewa itu adalah sebuah kampung yang mana boleh dikatakan semua penghuni kampung itu adalah bersaudara. Rumah yang kami sewa itu rumah batu dan bersambung dengan sebuah rumah milik seorang nenek, ibu kepada tuan rumah yang kami sewa itu. Di hadapan rumah kami ada sebatang pokok rambutan. Semuanya bagaikan mimpi kerana aku tidak ada kampung sendiri. Datuk dan nenek di kedua- dua belah ayah dan ibuku sudah lama tiada. Jadi, kami tidak pulang ke kampung lagi sejak itu. Aku tidak berpeluang mendengar cerita- cerita daripada datuk ataupun nenekku, bergurau dengan mereka ataupun melihat mereka tersenyum. Perkenalan dengan Nenek Minah memang memberikan kesan kepada jiwaku.

Kenapa Memilih Perguruan

Aku datang dari keluarga pendidik. Ibuku kini seorang guru besar di sebuah sekolah orang asli di Perak. Kakakku seorang guru bahasa Inggeris di sebuah Maktab Rendah Sains Mara di Melaka dan abangku bertugas sebagai seorang guru sains sukan di sebuah sekolah di Johor Bharu. Manakala ayahku seorang pesara polis.
Adakah kerana aku dating dari keluarga pendidik maka aku memilih untuk menjadi pendidik? Atau kerana jaminan kerja, gaji dan cuti? Atau kerana itulah saja yang layak dipohon dengan keputusan matrikulasiku? Atau, kerana itu adalah bidang kerja yang amat digemari oleh bakal suami dan ibu mertua? Anda bagaimana?
Semasa aku memilih jalan untuk berada di bidang perguruan tentulah kerana itu sahaja yang layak dipohon maka aku pun ditawarkan. Dan kenapa aku memohonnya dari awal adalah kerana jaminan kerja dan dorongan ibu bapaku. Kalau ditanya soal minat aku pada masi itu tentu sahaja aku akan memilih untuk berkecimpung di bidang hiburan dan dunia glamour! Tetapi hidup bukanlah untuk hari ini sahaja dan aku perlu lebih rasional. Lagi aku cenderung kepada computer dan internet tetapi aku terlalu takut untuk teruskan hasrat di bidang itu.
Kemudian, semasa temuduga tawaran biasiswa daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, aku sekali lagi diajukan dengan soalan; kenapa memilih perguruan? Kali itu aku menjawab kerana aku datang dari keluarga pendidik jadi ia seolah- olah teah mengalir di dalam darahku. Aku turut akui tentang jaminan kerja dan turut meluncur keluar dari mulutku; aku mahu mendidik anak bangsaku kerana ianya adalah satu pekerjaan yang mulia. Aku ingin membantu orang lain. Sejauh mana kebenaran kata- kata ku saat itu tidaklah kutahu dan matlamat utama hanayalah untuk mendapatkan biasiswa dari KPM. Persoalannya kenapa aku memohon biasiswa ini? Sekiranya aku ditawarkan itu bererti aku akan terikat sekurang- kurangnya 5 tahun bekerja dengan kerajaan. Itu juga bermaksud aku akan jadi seorang guru dan seperti pepatah Inggeris; There is no turning back.
Suka tidak suka dengan perjanjian itu aku terpaksa terima kerana aku tidak dapat teruskan kehidupanku di universiti jika hanya mendapat suku pinjaman dari PTPTN. Ini sesungguhnya memang telah ditakdirkan Allah untukku. Aku memang telah ditakdirkan menjadi guru!
Penemuduga itu bertanya lagi; “Sanggupkah anda berkhidmat di pedalaman? Di Sabah dan Sarawak?”
Soalan itu seolah- olah tidak pernah menjadi hal sebelum ini. Ibuku tidak pernah menyebut tentangnya pun sebelum ini. Aku sendiri juga tidak pernah terfikir. Namun demi mendapatkan biasiswa itu, lantang mulutku berbicara.
“Saya sanggup berkhidmat di mana jua demi memajukan anak bangsa dan mereka yang memerlukan. Saya menerimanya sebagai cabaran dan sebagai satu pengalaman.”
Penemuduga itu menakut- nakutkan aku dengan pelbagai cerita dan aku teguh menyatakan aku akan dapat atasi semuanya dengan izin-Nya dan mungkin saat itu pintu langit sedang terbuka. Masih juga jelas di ingatanku sehingga hari ini kata- kata pegawai penemuduga itu, “Ambil saja biasiswa ini, nanti kawinlah dengan anak orang kaya dan bayarlah RM 10 000 kepada KPM!”
Masa itu berkerut juga dahiku. Bukan risaukan dugaan jika benar- benar dihantar ke Sabah Sarawak tetapi adakah anak orang kaya yang mahu kahwin dengan diriku ini? Soalan itu masih menjadi tanda tanya sehingga hari ini.
Seperti yang lain, aku terus megorak langkah mengikut arus perjalanan hidupku. Semakin lama aku belajar tentang pendidikan, semakin aku jatuh cinta padanya. Seorang daripada pensyarahku ada menyatakan bahawa kami memang dilahirkan untuk menjadi seorang pendidik kerana Allah tidak menurunkan sesuatu ujian itu kepada mereka yang tidak mampu. Itu bererti kami memang telah dipilih Allah S.W.T untuk menerima ujian ini – menjadi guru!
Akhirnya aku temui jawapan kepada persoalan kenapa aku memilih perguruan. Teaching is my passion! – itulah kenapa aku memilih bidang perguruan. Aku suka belajar dan mengajar. Aku suka bercakap. Aku suka apabila orang mendengar aku bercakap. Adapun aku sebenarnya pernah berangan- angan untuk menjadi pengacara rancangan kanak- kanak! Jadi pada bakal- bakal guru di luar sana, fikir- fikirkanlah kenapa anda memilih bidang perguruan kerana untuk menjadi guru memang mudah tetapi untuk menjadi sebenar- benar pendidik masih satu perjalanan yang jauh.