Tuesday, August 5, 2008

Kenapa Memilih Perguruan

Aku datang dari keluarga pendidik. Ibuku kini seorang guru besar di sebuah sekolah orang asli di Perak. Kakakku seorang guru bahasa Inggeris di sebuah Maktab Rendah Sains Mara di Melaka dan abangku bertugas sebagai seorang guru sains sukan di sebuah sekolah di Johor Bharu. Manakala ayahku seorang pesara polis.
Adakah kerana aku dating dari keluarga pendidik maka aku memilih untuk menjadi pendidik? Atau kerana jaminan kerja, gaji dan cuti? Atau kerana itulah saja yang layak dipohon dengan keputusan matrikulasiku? Atau, kerana itu adalah bidang kerja yang amat digemari oleh bakal suami dan ibu mertua? Anda bagaimana?
Semasa aku memilih jalan untuk berada di bidang perguruan tentulah kerana itu sahaja yang layak dipohon maka aku pun ditawarkan. Dan kenapa aku memohonnya dari awal adalah kerana jaminan kerja dan dorongan ibu bapaku. Kalau ditanya soal minat aku pada masi itu tentu sahaja aku akan memilih untuk berkecimpung di bidang hiburan dan dunia glamour! Tetapi hidup bukanlah untuk hari ini sahaja dan aku perlu lebih rasional. Lagi aku cenderung kepada computer dan internet tetapi aku terlalu takut untuk teruskan hasrat di bidang itu.
Kemudian, semasa temuduga tawaran biasiswa daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, aku sekali lagi diajukan dengan soalan; kenapa memilih perguruan? Kali itu aku menjawab kerana aku datang dari keluarga pendidik jadi ia seolah- olah teah mengalir di dalam darahku. Aku turut akui tentang jaminan kerja dan turut meluncur keluar dari mulutku; aku mahu mendidik anak bangsaku kerana ianya adalah satu pekerjaan yang mulia. Aku ingin membantu orang lain. Sejauh mana kebenaran kata- kata ku saat itu tidaklah kutahu dan matlamat utama hanayalah untuk mendapatkan biasiswa dari KPM. Persoalannya kenapa aku memohon biasiswa ini? Sekiranya aku ditawarkan itu bererti aku akan terikat sekurang- kurangnya 5 tahun bekerja dengan kerajaan. Itu juga bermaksud aku akan jadi seorang guru dan seperti pepatah Inggeris; There is no turning back.
Suka tidak suka dengan perjanjian itu aku terpaksa terima kerana aku tidak dapat teruskan kehidupanku di universiti jika hanya mendapat suku pinjaman dari PTPTN. Ini sesungguhnya memang telah ditakdirkan Allah untukku. Aku memang telah ditakdirkan menjadi guru!
Penemuduga itu bertanya lagi; “Sanggupkah anda berkhidmat di pedalaman? Di Sabah dan Sarawak?”
Soalan itu seolah- olah tidak pernah menjadi hal sebelum ini. Ibuku tidak pernah menyebut tentangnya pun sebelum ini. Aku sendiri juga tidak pernah terfikir. Namun demi mendapatkan biasiswa itu, lantang mulutku berbicara.
“Saya sanggup berkhidmat di mana jua demi memajukan anak bangsa dan mereka yang memerlukan. Saya menerimanya sebagai cabaran dan sebagai satu pengalaman.”
Penemuduga itu menakut- nakutkan aku dengan pelbagai cerita dan aku teguh menyatakan aku akan dapat atasi semuanya dengan izin-Nya dan mungkin saat itu pintu langit sedang terbuka. Masih juga jelas di ingatanku sehingga hari ini kata- kata pegawai penemuduga itu, “Ambil saja biasiswa ini, nanti kawinlah dengan anak orang kaya dan bayarlah RM 10 000 kepada KPM!”
Masa itu berkerut juga dahiku. Bukan risaukan dugaan jika benar- benar dihantar ke Sabah Sarawak tetapi adakah anak orang kaya yang mahu kahwin dengan diriku ini? Soalan itu masih menjadi tanda tanya sehingga hari ini.
Seperti yang lain, aku terus megorak langkah mengikut arus perjalanan hidupku. Semakin lama aku belajar tentang pendidikan, semakin aku jatuh cinta padanya. Seorang daripada pensyarahku ada menyatakan bahawa kami memang dilahirkan untuk menjadi seorang pendidik kerana Allah tidak menurunkan sesuatu ujian itu kepada mereka yang tidak mampu. Itu bererti kami memang telah dipilih Allah S.W.T untuk menerima ujian ini – menjadi guru!
Akhirnya aku temui jawapan kepada persoalan kenapa aku memilih perguruan. Teaching is my passion! – itulah kenapa aku memilih bidang perguruan. Aku suka belajar dan mengajar. Aku suka bercakap. Aku suka apabila orang mendengar aku bercakap. Adapun aku sebenarnya pernah berangan- angan untuk menjadi pengacara rancangan kanak- kanak! Jadi pada bakal- bakal guru di luar sana, fikir- fikirkanlah kenapa anda memilih bidang perguruan kerana untuk menjadi guru memang mudah tetapi untuk menjadi sebenar- benar pendidik masih satu perjalanan yang jauh.

1 comment:

nurshaf said...

Saya juga bakal guru, pernah melawat ke satu sekolah di pendalaman penyarai, tatau bintulu sarawak kerana itu adalah sekolah kakak saya, sangat seronok dan itu adalah pengalaman yang unik bagi saya.

ibu awak guru besar di satu sekolah di Sg siput? sekolah apa? SK Chenain?